Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan secara tidak berlesen, sama ada melibatkan pelancong asing mahupun tempatan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen, termasuk mengendalikan perniagaan pelancongan, pengangkutan pelancong atau perkhidmatan berkaitan secara tidak sah, adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tindakan turut boleh diambil di bawah undang-undang lain yang berkaitan, termasuk oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan.
“Bagi kes melibatkan pelancong asing, tindakan seperti pembatalan pas, pengusiran dan senarai hitam (blacklisting) akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap pelancong asing yang menjalankan operasi tanpa lesen sehingga menjejaskan pengusaha tempatan, termasuk pemantauan, tindakan undang-undang dan senarai hitam.
Beliau berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi penguatkuasaan lain dalam menangani isu ini.
“Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri telah memberikan mandat kepada Kementerian saya untuk menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pelancong Negeri Sabah, yang dianggotai oleh pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, ESSCOM, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta pihak-pihak berkaitan yang lain.
“Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan tindakan dan pemantauan isu-isu keselamatan serta pematuhan dalam industri pelancongan.
“Langkah-langkah tegas ini adalah perlu demi melindungi hak pengusaha tempatan yang sah, menjamin keselamatan pelancong, dan memastikan industri pelancongan Sabah terus mampan dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu itu berkata tahun lepas, 47 kertas siasatan telah dibuka, melibatkan kompaun sebanyak RM290,000.
Bagi tahun ini sehingga 17 April, sebanyak 24 kertas siasatan dibuka dengan nilai kompaun mencecah RM86,000, tidak termasuk siasatan yang masih berjalan.



