Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE) kini dalam proses mewujudkan sebuah unit yang berperanan untuk merancang dan melaksanakan program- program ekonomi kreatif.
Menterinya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, unit itu merupakan antara perancangan dan inisiatif kerajaan bagi menjamin kelangsungan ekonomi serta memastikan golongan belia dapat memperoleh pendapatan yang lebih stabil dan berterusan dalam bidang e-Sukan.
Beliau berkata, bidang e-Sukan adalah merupakan salah satu aktiviti yang akan diberi tumpuan.
“Untuk makluman, kementerian saya menerima banyak permohonan latihan dan kursus bagi beberapa sektor, antaranya Perkhidmatan; Penternakan; Pelancongan; Digital & Ekonomi Kreatif (ekonomi Gig) dan Pembuatan.
“Selain itu, Minyak dan Gas; Logistik; Pertanian Moden; Agropreneur; Perusahaan Kecil; Pelancongan; Perikanan dan Ekonomi Komuniti turut diterima pihak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, Nizam berpendapat bahawa sektor-sektor itu berupaya untuk meningkatkan ekonomi belia.
Dalam pada itu, Nizam berkata, Kementeriannya akan terus mempertingkatkan penyediaan fasiliti sukan dan program-program pembangunan sukan.
Beliau berkata, ia adalah antara usaha menjadikan Sabah sebagai Negeri Sukan.
“Ini adalah sejajar dengan sasaran kementerian saya untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan disamping itu meningkatkan kecemerlangan atlet yang bertanding dalam mana-mana temasya sukan, sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA



