HomeUtamaYayasan Sime Darby Hulur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Di Sandakan

Yayasan Sime Darby Hulur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Di Sandakan

Read Time:1 Minute, 32 Second

SANDAKAN,— Yayasan Sime Darby (YSD) bersama sukarelawan pekerja daripada Sime Industrial dan SD Guthrie menyalurkan bantuan segera bernilai RM270,000 kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terjejas akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini.

Bantuan yang disalurkan dari 26 hingga 28 April itu merangkumi keperluan asas seperti tilam, bantal dan kit kebersihan, dengan pengagihan dibuat ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk Sekolah Kebangsaan Kampung Gas, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi serta beberapa dewan komuniti sekitar Sandakan.  

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Hajah Yatela Zainal Abidin berkata, dalam situasi mangsa kehilangan tempat tinggal secara mendadak, keutamaan adalah memulihkan kestabilan hidup serta menjaga maruah mereka.

“Keprihatinan sesama insan amat penting ketika waktu sukar seperti ini. Kami melihat usaha ini sebagai tanggungjawab bersama untuk membantu komuniti bangkit semula,” katanya.  

Kebakaran yang berlaku pada awal pagi 19 April lalu dilaporkan memusnahkan lebih 1,000 kediaman dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk. Sebahagian mangsa kini ditempatkan di PPS, manakala ada yang masih berlindung di khemah sementara di kawasan kampung.  

Seorang mangsa, Labia Atiun, 63, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga semua harta benda musnah, dan kini beliau berdepan cabaran mencari kediaman baharu dengan kos sewaan dianggarkan antara RM600 hingga RM700 sebulan.  

Sementara itu, pemimpin komuniti Kampung Bahagia, Rozaizar Rozaine berkata pengagihan bantuan kepada 580 keluarga pada 27 April berjalan lancar menerusi sistem kupon dan penyusunan barisan yang teratur hasil kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, walaupun komuniti masih terkesan, kehidupan harian penduduk mula kembali normal dengan sebahagian kembali bekerja dan anak-anak meneruskan persekolahan.  

Pengagihan bantuan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah, selain diselaraskan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut memantau keperluan mangsa di lokasi terjejas.

YSD dalam kenyataannya memaklumkan akan terus komited membantu komuniti terjejas melalui intervensi tepat pada masanya serta penyampaian bantuan secara terselaras.  

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Bantuan kewangan galak rakyat berdikari, bukan konsep Negara Kebajikan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular