HomeUtamaDUN Sabah: Bantuan kewangan galak rakyat berdikari, bukan konsep Negara Kebajikan –...

DUN Sabah: Bantuan kewangan galak rakyat berdikari, bukan konsep Negara Kebajikan – Rina

Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pemberian bantuan kepada rakyat di Malaysia tidak mengamalkan konsep Negara Kebajikan (Welfare State), sebaliknya bertujuan menggalakkan penerima berdikari, kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.

Beliau berkata, proses pemberian bantuan kewangan mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

“Permohonan yang lengkap akan disiasat dan dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan bukan hak tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan jantina.

“Permohonan yang lengkap akan disiasat dan dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan bukan hak tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan jantina.

“Bantuan kewangan kebajikan adalah bersifat sementara bagi membantu individu/keluarga pemohon yang berkeperluan agar dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan berkualiti,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di sini.

Menurut Rina, pemberian bantuan ini berdasarkan prinsip kerja sosial untuk meningkatkan kefungsian sosial mereka.

Katanya lagi, menjadi tanggungjawab setiap penerima bantuan atau klien produktif yang diluluskan untuk mengemukakan permohonan kaji semula dalam tempoh yang ditetapkan, dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan bantuan ditamatkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap penerima bantuan/ klien produktif yang diluluskan untuk mengemukakan permohonan kaji semula dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan. Kegagalan penerima bantuan/klien untuk mengemukakan permohonan kaji semula akan menyebabkan bantuan ditamatkan.”

Sementara itu, beliau berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350.

“Kesediaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bajet adalah bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.

“Manakala bagi bantuan kebajikan persekutuan, kenaikan kadar bantuan adalah berdasarkan bajet persekutuan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pembentangan bajet di sidang Parlimen,” katanya.

Menurutnya lagi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga meningkatkan kelayakan pemohon bantuan berdasarkan kiraan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu dari pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) sebanyak RM1,198 tahun 2025 kepada RM1,236 tahun 2026 dan perdapatan perkapita sebanyak RM322 kepada RM348.

Rina berkata penamatan bantuan boleh berlaku selepas proses kaji semula dan pemantauan dibuat bagi memastikan penerima masih memenuhi syarat kelayakan.

Menurutnya, antara sebab utama bantuan ditamatkan ialah apabila pendapatan isi rumah melebihi had PGK, penerima meninggal dunia atau berpindah tempat tinggal, memberikan maklumat tidak sah, gagal dihubungi, serta tidak menghantar borang kaji semula dalam tempoh ditetapkan.

Kerajaan, katanya, sentiasa memastikan proses penilaian kelayakan dilaksanakan secara telus berdasarkan garis panduan, semakan sistem serta pemantauan di lapangan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, pemohon atau klien yang bantuannya ditamatkan tetapi masih berkeperluan boleh mengemukakan permohonan baharu dengan menghantar borang permohonan bersama dokumen sokongan lengkap di Pejabat Kebajikan Bahagian atau Daerah masing-masing.

Permohonan juga boleh dibuat secara manual di pejabat kebajikan atau secara dalam talian melalui Sabah Welfare Aid Application (SWAA) bagi bantuan negeri serta Sistem eBantuan bagi bantuan persekutuan.

RELATED ARTICLES
Utama

10,000 pengunjung dijangka meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Papar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular