KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 peringkat negeri yang akan berlangsung di Papar pada 1 Mei ini.
Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali berkata, sambutan itu dijangka menerima kehadiran orang ramai dari pelbagai daerah, sekali gus memeriahkan acara tahunan yang sinonim dengan masyarakat Sabah.
Beliau berkata, persiapan penganjuran kini berada pada tahap memuaskan selepas dilaksanakan secara rapi sejak awal April oleh jawatankuasa pelaksana.
“Segala persiapan termasuk pengisian program di dalam dan luar Dewan Masyarakat Papar berjalan lancar menjelang hari pelancaran,” katanya.
Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selain turut dihadiri barisan pemimpin negeri, ketua jabatan serta jemputan khas dari Kalimantan Utara.

Muhammad berkata, penganjuran Kaamatan bukan sahaja bertujuan memartabatkan budaya tradisi, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Dalam pada itu, Papar turut mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah majlis pelancaran peringkat negeri buat pertama kali.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir bagi memeriahkan sambutan serta bersama-sama mengekalkan warisan budaya yang menjadi identiti Sabah.



