Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan berkelakuan tidak senonoh.
Tertuduh, Chong Fui Fung, 69, yang mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, juga akan dijatuhi hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Chong melakukan kesalahan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun dengan berbogel dan memegang kemaluannya sendiri di hadapan sebuah rumah di Penampang pada 15 Disember 2025.
Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa ternampak tertuduh dalam keadaan berbogel dan memegang kemaluannya sendiri sambil memerhati mangsa.
Kejadian sebegini bukan kali pertama dan berlaku sejak tahun lalu lagi. Tertuduh melakukan perbuatan itu hampir setiap hari setiap kali ternampak mangsa walaupun pernah diberi amaran.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa menunjukkan perbuatan tertuduh dan laporan polis telah dibuat bagi tindakan selanjutnya demi keselamatan kerana mangsa berasa tidak selesa dan terasa terancam dengan perilaku tertuduh.
Semasa rayuan, Chong, yang tidak diwakili peguam, berkata perbuatannya hanyalah sekadar “untuk keseronokannya sendiri”.
Menurutnya dia melakukan perkara itu semasa menjemur kain dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang kerana merasa malu.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan pendakwaan.



