HomeUtamaKPDN Sandakan serbu stor haram, rampas 1,200 liter diesel bersubsidi

KPDN Sandakan serbu stor haram, rampas 1,200 liter diesel bersubsidi

Read Time:1 Minute, 57 Second

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor haram di Kampung Segaliud, Sandakan, Sabah pada Selasa lalu.

Serbuan ini hasil risikan yang telah dijalankan oleh Pejabat KPDN Cawangan Sandakan dan siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi terbabit. 

Ketua Cawangan KPDN Sandakan Joe Azmi Jamil berkata, hasil serbuan kira-kira jam 12.46 tengah hari itu mendapati terdapat sebanyak 1,200 liter minyak diesel yang terkandung di dalam enam tong drum.

Selain itu katanya, beberapa dokumen telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5,340.

Beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 51 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan terbabit turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana Orang Yang Disyaki telah menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel anggaran 1,200 liter di tempat yang tidak mendapat kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia. 

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.  

Joe berkata, para pengusaha stesen minyak di daerah ini diingatkan supaya tidak menjual minyak diesel dan petrol RON95 bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDN.  

Katanya, siasatan dan tindakan tegas di bawah Peraturan 12A dan subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat. 

“KPDN Cawangan Sandakan akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang-barang kawalan khasnya melibatkan minyak diesel dan petrol RON95 bersubsidi, gas petroleum cecair, minyak masak, gula dan tepung gandum di daerah ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Maritim Malaysia tahan bot kargo bawa petrol, diesel tanpa permit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular