HomeUtamaTiada lagi ruang untuk alasan, LPB Sabah 86.6 peratus siap - KKR

Tiada lagi ruang untuk alasan, LPB Sabah 86.6 peratus siap – KKR

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Status kemajuan fizikal projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A (LPB) kini sudah mencapai 86.6 peratus selain Pakej Kerja 09 (WP09) merekodkan 17.24 peratus dan Fasa 1B berada pada tahap 13.56 peratus.

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) Datuk Seri Azman Ibrahim dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid, selain pegawai kanan agensi Persekutuan dan Negeri serta wakil agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah.

Daripada 16 pakej kerja di bawah Fasa 1A, empat  pakej telah berjaya disiapkan sepenuhnya dan kini memberi manfaat langsung kepada pengguna jalan raya di negeri ini.

KKR menegaskan pihaknya cakna terhadap kebimbangan rakyat berhubung kelewatan projek LPB yang memberi kesan langsung kepada mobiliti harian, kos logistik serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Projek infrastruktur mega ini bukan sekadar melibatkan aspek teknikal pembinaan, malah mempunyai impak rantaian terhadap kesejahteraan sosial dan daya saing ekonomi Sabah secara keseluruhan.

Sehubungan itu, KKR memberi komitmen penuh untuk memastikan baki jajaran yang masih dalam pembinaan dapat disiapkan secara berfasa dan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Mesyuarat itu menjadi manifestasi sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyelarasan pelaksanaan projek.

Pendekatan kini beralih daripada sekadar pemantauan kepada tindakan penyelesaian tuntas, dengan memusatkan kolaborasi semua pemegang taruh.

Semua agensi yang terlibat dituntut untuk menoktahkan budaya ‘blaming game’ dan bekerja secara silo.

Fokus utama adalah satu – memastikan setiap inci kemajuan projek mematuhi jadual yang telah dipasak sekian lama.

Kerajaan melalui KKR menetapkan sasaran agar keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B diselesaikan sepenuhnya menjelang Suku Keempat tahun 2028.

Usaha ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan efisien demi kemaslahatan rakyat di Negeri di Bawah Bayu, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dengan kemajuan yang semakin memberangsangkan dan komitmen yang diperkukuh, mesejnya jelas: tiada lagi ruang untuk alasan — hanya ruang untuk kemajuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Maritim Malaysia tahan bot kargo bawa petrol, diesel tanpa permit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular