HomeUtamaSabah, Sarawak kini berkuasa penuh urus buangan terjadual

Sabah, Sarawak kini berkuasa penuh urus buangan terjadual

Read Time:1 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR : Sabah dan Sarawak kini diberi kuasa penuh dalam pengurusan serta kawal selia buangan terjadual di darat dan perairan negeri masing-masing susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pindaan tersebut selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan serta memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut beliau, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan hak serta bidang kuasa Sabah dan Sarawak dihormati dan diperkasa melalui saluran perundangan yang sah.

“Ini bukan keputusan tergesa-gesa, sebaliknya hasil rundingan dan penelitian menyeluruh melibatkan pelbagai pihak melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63),” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mustapha berkata, platform MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi medan utama perbincangan dan penyelarasan dasar sebelum sesuatu tuntutan diterjemahkan kepada pindaan undang-undang.

Tambah beliau, pindaan RUU tersebut merupakan antara pencapaian penting daripada 29 tuntutan MA63 yang sedang dan telah diteliti oleh Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Pemerkasaan MA63 adalah agenda berterusan. Pindaan ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan autonomi dan hak Sabah serta Sarawak terus dipelihara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, langkah itu dijangka memberi impak positif terhadap tadbir urus alam sekitar di kedua-dua negeri, selain memperkukuh kerjasama Persekutuan–negeri dalam memastikan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KWSP umum dividen 6.15 peratus untuk simpanan konvensional dan shariah, jumlah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular