HomeUtamaJKNS aktifkan siasatan dalaman insiden kereta api Tenom–Pangi

JKNS aktifkan siasatan dalaman insiden kereta api Tenom–Pangi

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengaktifkan siasatan dalaman susulan insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api dan motor troli yang berlaku di KM134/4 landasan kereta api Tenom ke Pangi pada 3 Mac lalu.

JKNS dalam kenyataaan memaklumkan siasatan dijalankan melalui Badan Penyiasatan Dalaman selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, pihak JKNS turut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Sebarang tindakan susulan oleh JKNS akan dibuat berdasarkan hasil laporan Badan Penyiasatan Dalaman selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

JKNS turut menyatakan rasa kesal atas kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan dalaman oleh jabatan itu serta siasatan polis masih giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya akan membentangkan laporan siasatan berhubung insiden berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu depan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, beliau telah meminta laporan daripada JKNS susulan kejadian tersebut.

Menurutnya, laporan siasatan awal telah diterima dan turut dipanjangkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini.

“Laporan siasatan ini akan saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac 2026 bagi membolehkan kerajaan negeri meneliti hasil siasatan serta tindakan susulan yang perlu diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden yang berlaku di laluan kereta api Tenom–Pangi itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan orang ramai, namun pihak berkuasa telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penganggur didenda RM25, kesalahan berulang muat naik kandungan jelek dan menghina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular