HomeUtamaKonflik Timur Tengah : Lebih 400 pelajar Sabah dilaporkan selamat

Konflik Timur Tengah : Lebih 400 pelajar Sabah dilaporkan selamat

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Lebih 400 pelajar Sabah yang sedang menuntut di negara Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan dan Arab Saudi dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan terkawal susulan konflik yang berlaku di Timur Tengah. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelajar-pelajar terbabit melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka di rantau tersebut.

Beliau berkata,  majoriti pelajar Sabah berada di Mesir, khususnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, yang terkenal dengan program pengajian agama. 

“Setakat ini, keadaan para pelajar dilaporkan baik dan stabil. Pegawai Yayasan Sabah yang ditugaskan di Kaherah memantau keadaan mereka secara berterusan dan sentiasa berhubung dengan pihak universiti.

“Kami juga memastikan mereka berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Amman, dan Arab Saudi bagi memudahkan komunikasi dan tindakan segera jika perlu,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Jumaat.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, pegawai yang bertugas di Mesir telah lama berkhidmat di negara tersebut hampir lebih 10 tahun, termasuk semasa krisis sebelum ini, dan mempunyai pengalaman luas dalam menjaga kebajikan pelajar Malaysia di Timur Tengah. 

“Pegawai ini sudah lama ditugaskan dan akan memastikan pelajar kita mendapat perhatian sewajarnya,” tambah beliau.

Selain itu, Arifin berkata, pihak berkuasa Malaysia melalui Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa dikemas kini mengenai situasi pelajar.

Dalam pada itu, Arifin berkata, sebahagian besar pelajar menerima biasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), manakala yang lain mendapat sokongan melalui biasiswa Yayasan Sabah, biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, serta sumbangan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah.

Berhubung dengan kaedah pengajian, Arifin berkata, para pelajar sedang mengikuti kelas secara langsung di universiti masing-masing. 

Katanya, keadaan di Mesir dan lokasi lain di Timur Tengah dilaporkan terkawal, dan tiada sebarang masalah yang mengganggu perjalanan akademik mereka.

“Kerajaan Sabah, Yayasan Sabah, dan pihak berkepentingan akan terus memantau perkembangan dan berhubung secara rapat dengan pihak universiti serta kedutaan bagi memberi keyakinan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terjaga,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kes isteri jadi mangsa seksual disebut semula 9 April

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular