KOTA KINABALU,— Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menegaskan kerajaan negeri tidak akan memberi ruang kepada kegiatan penjualan rokok haram di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah, khususnya apabila ia melibatkan individu yang bertindak agresif atau berlagak samseng terhadap penguat kuasa.
Menurut beliau, kementeriannya akan memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti tersebut dan memastikan golongan terbabit tidak lagi beroperasi di kawasan awam di bawah seliaan PBT.
“Kita akan banteras dan usir semua penjual rokok haram ini. Kita tidak akan biarkan golongan samseng sebegini menjejak kaki dan menjual rokok secara terang-terangan di kawasan PBT, bukan sahaja di Sandakan tetapi di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan satu insiden di Sandakan yang tular di media sosial, apabila seorang penguat kuasa dilaporkan cedera selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki.
Video kejadian yang dikongsikan oleh akaun TikTok Sandakan Viral Kini memaparkan insiden tersebut yang dipercayai berlaku di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pegawai penguat kuasa berkenaan menegur seorang penjual rokok supaya menghentikan aktiviti menjual rokok di kawasan pasar tersebut.
Fairuz berkata, walaupun kesalahan berkaitan penjualan rokok haram dan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kementerian melalui PBT akan tetap memainkan peranan aktif dalam membantu mengekang aktiviti tersebut daripada berleluasa di kawasan awam.
Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat agar segera menghentikan kegiatan itu dan tidak bertindak agresif terhadap pegawai penguat kuasa.
“Kita ingin ingatkan semua penjual rokok haram di kawasan PBT seluruh Sabah supaya berhenti sekarang. Jangan tunjuk pandai atau cuba menjadi samseng apabila pegawai menegur.
“Apa yang anda lakukan adalah satu kesalahan dan anda perlu akur dengan teguran yang diberikan. Jangan bertindak seolah-olah anda pemilik kawasan sehingga sanggup memukul pegawai yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kementerian akan terus memastikan kawasan PBT kekal selamat, aman dan harmoni untuk orang awam menjalankan aktiviti harian mereka.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman awam atau bertindak ganas terhadap pegawai yang bertugas akan berdepan tindakan tegas.
“Kawasan awam sepatutnya menjadi ruang yang selamat untuk semua orang. Jika ada pihak yang mementingkan diri, mahu tunjuk hero atau menganggap diri mereka ‘pemilik’ kawasan sehingga sanggup memukul pegawai bertugas, kita tidak akan memandang sebelah mata terhadap perbuatan tersebut,” katanya lagi.



