PENAMPANG: Polis berjaya memberkas seorang suspek lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh seorang remaja perempuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, tengah hari Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak berhampiran Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 16 tahun itu berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya ketika kejadian berlaku.
“Mangsa difahamkan membantu menjaga kanak-kanak berkenaan semasa kakak iparnya keluar bekerja.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk bertemu kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan masakan di dapur.
Katanya, suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berang sebelum bertindak merampas pisau berkenaan lalu mengelar leher mangsa.
“Suspek turut menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurut Sammy, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bersama pegawai penyiasat kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami luka kelar di leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, Asisten Superintendan Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.
Berita berkaitan:



