HomeUtamaSaya mahu ziarah ‘rumah baru’ ibu bapa – Putra Al Aqso

Saya mahu ziarah ‘rumah baru’ ibu bapa – Putra Al Aqso

Read Time:2 Minute, 12 Second

Laporan Eksklusif Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : “Saya mahu ziarah ‘rumah baru’ ibu bapa saya,” kata Putra Al Aqso  Mustofa,8, anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam satu kemalangan berhampiran Kampung Kapa di Jalan Tamparuli – Ranau, awal Januari lalu.

Al Aqso yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bongol Tuaran ditemui Sabah Media ketika hadir pada program ‘Shopping Raya’ anjuran Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) di sini pada Sabtu.

Anak bongsu dari tiga beradik itu mengakui rindu dengan kedua ibu bapanya terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Putra Al Aqso

“Setiap kali hari raya, ibu bapa saya selalu belikan saya songkok dan baju raya. Tapi tahun ini agak berbeza sedikit berbanding sebelum ini.

“Ini pertama kali saya dibawa ‘shopping’ raya. Terima kasih sebab bawa saya pilih pakaian raya.  Hari raya pertama, tempat pertama saya mahu ziarah adalah kubur ibu bapa saya,”‘katanya.

Al Aqso turut ditemani jirannya, Kamisih Sanih,47, serta tiga lagi guru pengiring dari SK Bongol Dg Sabrina Pg Jaafar; Jaimah Endara dan Safwan Fakhrullah Zamri.

Sementara itu, Kamisih berkata, beliau mengambil keputusan untuk membawa Al Aqso ke program berkenaan bagi memastikan anak bongsu itu dapat membeli keperluan hari raya.

Pengerusi PBNS Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar membantu memakaikan baju melayu kepada Al Aqso dan turut diperhati Ketua Pegawai Eksekutif PBNS Ismail Mohd Adnan pada program itu.

“Saya dimaklumkan, anak-anak ini akan menyertai program ‘shopping’ pada Rabu lalu. Atas dasar ingin membantu saya mengambil inisiatif membawa Al Aqso pada hari ini kerana kedua neneknya tidak mempunyai pengangkutan.

“Bagi pihak keluarganya, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada PBNS atas bantuan yang disalurkan kepada Al Aqso dan juga rakan-rakannya,” katanya.

Menceritakan mengenai perwatakan Al Aqso selepas ketiadaan kedua ibu bapanya, Kamisih berkata, Al Aqso sangat terkesan dengan ‘kehilangan’ ibu bapanya.

“Bila dia teringat ibu bapanya, dia akan memukul badannya kerana dia belum tahu untuk meluahkan rasa rindu itu.

“Dia dan adik beradiknya amat baik dengan kami dan semua yang mengenali mereka.  Alhamdulillah, ramai yang sayang mereka,” katanya.

Bagi gurunya, Dg Sabrina Pg Jaafar berkara, Al Aqso merupakan seorang pelajar yang ceria di dalam kelas dan sangat fokus bila diarah membuat kerja.

Bagaimanapun, kehilangan kedua ibu bapanya banyak memberi kesan kepadanya selain hilang fokus ketika belajar.

“Sebagai guru, saya bersyukur ramai rakan sekelasnya yang memberi sokongan untuknya dan kini Al Aqso kembali seperti dahulu seorang pelajar yang ceria.

“Allahyarhamah ibunya pula sangat pemurah dan prihatin terhadap sekolah. Banyak membantu kami khususnya dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ibunya banyak bersedekah terutama makanan kerana arwah ibunya berniaga kecil-kecilan menjual makanan bermasak di Pekan Nabalu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Enam pemuda terima motorsikal baru sumbangan Ketua Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular