Oleh Erdie Ab Wahid
Foto Alexter Rosalia
KOTA KINABALU : Penganjuran Pertandingan Sugandoi terus mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pelbagai peringkat umur yang membuktikan lagu tradisi terus subur dalam kalangan generasi muda.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah mengakui kagum dengan kualiti persembahan para peserta yang disifatkan sangat baik, khususnya dalam kategori dazanak dan terbuka.

“Saya dapati persembahan daripada para peserta sangat baik dan ini menunjukkan minat, terutama sekali golongan muda terhadap lagu-lagu tradisi ini masih segar dan kuat.
“Persembahan dazanak dan terbuka amat mengagumkan serta memperlihatkan potensi besar dalam memartabatkan seni budaya tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.

Sabin berkata, pertandingan Sugandoi bukan sahaja mampu menarik minat masyarakat tempatan, malah berpotensi menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Program seperti ini boleh dianggap sebagai ‘jiwa’ kepada pengalaman Pesta Kaamatan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami budaya tempatan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan bandar raya demi keselesaan penduduk dan pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, Sabin menasihatkan para peserta yang tidak berjaya agar tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha meningkatkan bakat masing-masing.
“Saya berharap mereka terus berlatih dan mendapatkan bimbingan daripada ahli profesional supaya dapat mempersembahkan kualiti yang lebih baik pada peringkat negeri nanti,” katanya. – SABAH MEDIA



