LABUAN: Dua peniaga di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan kerana gagal mematuhi peraturan penandaan harga barangan.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan kompaun dikenakan terhadap seorang pengusaha premis perabot dan seorang peniaga kedai serbaneka selepas pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan tidak meletakkan label, tag atau tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan di premis masing-masing.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan hari ini adalah sebahagian daripada pemantauan berterusan menerusi Ops Pantau 2026 – Harga, yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di sekitar Labuan.
“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Peniaga juga diingatkan supaya sentiasa memastikan setiap barangan yang dipamerkan untuk jualan dilengkapi dengan tanda harga jualan tunai yang jelas, mudah dilihat serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.




