KUALA LUMPUR, Kementerian Perpaduan Negara memandang serius beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Menurut kenyataan tersebut, tiga insiden yang mendapat perhatian termasuk kejadian tiga buah kenderaan milik seorang aktivis masyarakat, dikenali sebagai Cikgu Chandra, yang dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, kementerian turut menyorot penularan video memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama tersebut.
Kejadian ketiga melibatkan serangan terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth yang turut mencetuskan kebimbangan berkaitan keselamatan individu serta ketenteraman awam.
“Keharmonian negara tidak boleh dan tidak akan sesekali digadai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia diseru supaya tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi, khususnya di media sosial, serta sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu-isu sensitif.
Kementerian turut mengingatkan bahawa sebarang perbezaan pandangan perlu ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara agama serta budaya, dan nilai-nilai tersebut mesti terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.
Kementerian Perpaduan Negara juga akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat serta pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.



