KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar dilantik sebagai ahli Program CEO@Faculty di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut kenyataan UMS, pelantikan itu disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS pada Isnin.
Program CEO@Faculty merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi merapatkan jurang antara dunia akademia dan industri.
Melalui program tersebut, ketua pegawai eksekutif serta pemimpin industri berpeluang berkongsi pengalaman kepimpinan, memberi bimbingan kepada pensyarah dan pelajar serta menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang lebih selari dengan keperluan industri semasa.
Menurut UMS, pelantikan Mohd Yaakob juga selari dengan kekuatan FST dalam bidang sains, teknologi dan kelestarian alam sekitar, khususnya berkaitan pembangunan teknologi tenaga serta penerokaan penggunaan tenaga hijau.
Fakulti itu turut berhasrat memperkukuh hubungan strategik dengan industri tenaga, khususnya Sabah Electricity, bagi memperluas kolaborasi dalam pembangunan program akademik, penyelidikan serta inovasi termasuk pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Mohd Yaakob juga dijangka terlibat dalam beberapa inisiatif bersama pelajar dan pensyarah termasuk sesi perkongsian kepimpinan industri, perbincangan strategik berkaitan sektor tenaga serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tenaga lestari.
UMS berkata pelantikan itu diharap membuka lebih banyak ruang kerjasama antara universiti dan industri dalam menyokong agenda pembangunan tenaga mampan serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri, khususnya di Sabah.
Turut hadir menyaksikan penyampaian pelantikan tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Electricity, Saadiah Aziz. Hadir sama Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Coswald Stephen Sipaut; Dekan FST, Rodeano Roslee; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Chin Pie Yee; serta Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FST, Mohamad Zul Hilmey Makmud.
Turut hadir wakil Sabah Electricity iaitu Pengurus Besar (Pengurusan Aset Penghantaran), Mohammad Fauzi Awang dan Ketua (Strategi Penghantaran), Sudalli Sabtuahim.



