HomeUtamaSyarikat didenda RM8,000 akibat tiada perakuan bomba

Syarikat didenda RM8,000 akibat tiada perakuan bomba

Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Sebuah Syarikat dikenakan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan berhubungan dengan perakuan bomba.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman denda terhadap New Tech Furniture Sdn Bhd selepas pengurus syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Mahkamah turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya syarikat gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit tidak mempunyai perakuan bomba yang sah bagi premis berkenaan pada 31 Oktober 2025, kira-kira jam 3 petang, di Jalan Tuaran By-pass, Manggatal.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menunjukkan bahawa surat peringatan telah dikeluarkan kepada syarikat, namun hasil siasatan mendapati syarikat masih belum mempunyai perakuan bomba.

Semasa rayuan, pengurus syarikat memaklumkan bahawa pihaknya menyesal atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

Beliau turut menyatakan bahawa mereka telah melakukan beberapa penambahbaikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pihak pendakwaan memohon agar hukuman yang setimpal dijatuhkan kerana kesalahan ini melibatkan keselamatan pekerja dan pengunjung premis berkenaan. Pendakwaan menegaskan bahawa hukuman ini akan menjadi amaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Nur Farizah Jembri.

RELATED ARTICLES
Utama

Kecuaian pemandu punca kemalangan kereta api langgar motor troli di Tenom

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular