HomeUtamaLelaki didakwa palsukan dokumen bagi kelulusan pembiayaan

Lelaki didakwa palsukan dokumen bagi kelulusan pembiayaan

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan menipu, yang mengakibatkan dua institusi kewangan meluluskan permohonan pembiayaan berjumlah RM1 juta.

Wong Chian Vui, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus selepas semua pertuduhan asal dibacakan kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, Wong didakwa memalsukan dokumen, iaitu lesen berniaga dan penyata akaun, yang dilampirkan pada borang permohonan pembiayaan institusi kewangan dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Pertuduhan menyatakan bahawa akibat dokumen palsu tersebut, institusi kewangan itu masing-masing meluluskan permohonan pembiayaan Commodity Murabahah Term Financing- (CMTF-1) bernilai RM500,000.

Pertuduhan ketujuh dan kelapan pula menyatakan bahawa tertuduh memalsukan penyata akaun yang dilampirkan pada borang pembukaan akaun institusi kewangan dan didakwa menyebabkan institusi kewangan itu meluluskan pembiayaan Targeted Relief and Recovery Facility bernilai RM500,000.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Februari dan 24 Februari 2021 di dua institusi kewangan berbeza di Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Kesemua pertuduhan asal dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Wong juga mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan alternatif menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen untuk tujuan yang sama di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan alternatif dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama. Seksyen ini memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan Wong diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan deposit RM10,000 serta isterinya sebagai penjamin.

Wong juga diarahkan melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Memandangkan tertuduh kini bekerja di Singapura, mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserahkan kepadanya namun perlu dikembalikan setiap kali kes disebut di mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rustam Sanip

Peguam Datuk Ram Singh dan Elmer Prem Gunasan mewakili tertuduh.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah mahu kurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular