HomePendapatMARA: Future-Proofing Modal Insan dan Usahawan Negara

MARA: Future-Proofing Modal Insan dan Usahawan Negara

Read Time:3 Minute, 50 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukanlah sebuah institusi biasa dalam landskap pembangunan negara. Sejak penubuhannya pada 1 Mac 1966, hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama 1965, MARA telah memainkan peranan penting dalam membentuk semula struktur sosial dan ekonomi rakyat, khususnya dalam kalangan Bumiputera luar bandar.

Selama enam dekad, kejayaan MARA tidak boleh dinafikan. Ia bukan sahaja membantu memecahkan kitaran kemiskinan antara generasi, malah telah melahirkan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh. 

Ketika menyambut ulang tahun ke-60 pada 1 Mac 2026, pencapaian MARA boleh dianggap melangkaui jangkaan awal penubuhannya. Daripada hanya sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Seremban dengan 150 pelajar pada tahun 1972, kini terdapat 58 MRSM di seluruh negara.

MARA juga mengurus pelbagai institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), German-Malaysia Institute (GMI) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII). 

Namun, di sebalik kejayaan ini, MARA tidak terlepas daripada kelemahan, kerugian dan skandal yang sedikit sebanyak mencalar reputasinya. Maka, pada usia “dewasa” 60 tahun ini, persoalan yang lebih besar timbul — apakah hala tuju MARA untuk terus relevan dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar?

Halatuju Strategik: Antara Aspirasi dan Ketelusan

MARA dilaporkan akan dipandu oleh Pelan Strategik MARA 2026–2030 (PSM 2026–2030), berteraskan tujuh asas utama termasuk data, pengurusan bakat, program berimpak tinggi, monetisasi aset serta kerangka ESG. 

Dengan peruntukan RM5.5 bilion bagi tahun 2026, termasuk RM4.3 bilion daripada Kerajaan,  MARA menetapkan tahun ini sebagai fasa “fast execution dan impactful results”.

Namun begitu, timbul persoalan besar dari sudut ketelusan. Dokumen PSM 2026–2030 tidak tersedia untuk akses umum, termasuk di laman rasmi MARA. Ini menyukarkan penelitian mendalam terhadap hala tuju sebenar organisasi tersebut.

Dalam konteks tadbir urus moden, kekurangan akses kepada dokumen strategik utama bukan sahaja mengehadkan perbincangan awam, malah menimbulkan persoalan terhadap tahap keterbukaan institusi.

Perkara asas seperti laman sesawang MARA juga dilihat memerlukan penambahbaikan. Laporan Tahunan 2022 masih merupakan dokumen terkini yang tersedia, mencerminkan jurang dari segi penyampaian maklumat kepada umum. 

Peruntukan Besar, Tanggungjawab Lebih Besar

Sebagai antara penerima geran kerajaan terbesar, MARA membawa tanggungjawab yang sangat signifikan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026, MARA menerima geran berjumlah RM4.011 bilion pada tahun 2024 — tertinggi antara agensi lain, malah melebihi UiTM. 

Lebih 50% daripada jumlah ini disalurkan kepada pembiayaan pendidikan, yang memberi manfaat kepada hampir 97,000 pelajar, termasuk lebih 5,900 di luar negara. 

Ini membuktikan bahawa MARA kekal sebagai tonggak utama pembangunan modal insan negara.

Malah, cadangan untuk menyenaraikan UniKL dan UPTM di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun mencerminkan pendekatan baharu yang lebih berani dan “out-of-the-box”.

Secara teori, langkah ini berpotensi meningkatkan daya saing, memperkukuh kewangan serta menambah baik tadbir urus. Namun tanpa maklumat terperinci, sukar untuk menilai sama ada cadangan ini benar-benar praktikal atau berisiko tinggi dalam jangka panjang.

Keusahawanan: Antara Kejayaan dan Realiti

Dalam sektor keusahawanan, prestasi MARA menunjukkan gambaran bercampur.

Di satu pihak, usahawan MARA mencatat jualan RM2.2 bilion pada tahun 2024, serta RM1.01 bilion bagi separuh pertama 2025, selain mewujudkan hampir 15,000 peluang pekerjaan. 

Namun, angka ini masih kecil dalam konteks ekonomi nasional.

Lebih membimbangkan, hanya 39% daripada 1.5 juta perniagaan berdaftar di Malaysia dimiliki oleh Bumiputera, dan majoritinya adalah perusahaan mikro dengan pendapatan di bawah RM300,000 setahun. 

Ini menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar meningkatkan penyertaan, tetapi memastikan peningkatan skala dan daya saing usahawan.

Isu Kritikal: Kadar NPL yang Membimbangkan

Isu paling kritikal ialah kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) MARA yang mencecah 49.6%, bersamaan RM893 juta. 

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding agensi lain seperti:

  • Amanah Ikhtiar Malaysia (0.08%)
  • TEKUN Nasional (9.6%)

Jurang yang ketara ini menimbulkan persoalan serius terhadap:

  • Proses penilaian pinjaman
  • Mekanisme pemantauan
  • Keberkesanan bimbingan keusahawanan

Kadar NPL yang tinggi bukan sahaja mencerminkan kelemahan sistem, malah menghakis keupayaan MARA untuk membantu lebih ramai usahawan baharu.

Walaupun terdapat sasaran untuk menurunkan NPL di bawah 30%, realitinya sasaran ini sukar dicapai dalam tempoh singkat tanpa reformasi menyeluruh.

Ke Hadapan: Future-Proofing MARA

Selepas 60 tahun, MARA kini berada di persimpangan penting.

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, perubahan iklim dan ketidaktentuan rantaian bekalan global, pendekatan lama mungkin tidak lagi mencukupi.

Apa yang diperlukan ialah:

Model pendidikan yang lebih adaptif dan berorientasikan masa depan

Ekosistem keusahawanan yang bukan sekadar inklusif, tetapi kompetitif

Tadbir urus yang telus dan berasaskan data

Akhirnya, kejayaan MARA pada masa depan bukan hanya diukur melalui jumlah pelajar atau usahawan yang dibantu, tetapi sejauh mana mereka mampu bertahan, berkembang dan bersaing dalam ekonomi global.

Future-proofing bukan lagi pilihan , ia adalah keperluan.

RELATED ARTICLES
Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah
Utama

Sabah umum cuti tambahan Aidilfitri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular