HomeUtamaUtamakan keperluan, kurangkan perbelanjaan tidak perlu - Mustapha

Utamakan keperluan, kurangkan perbelanjaan tidak perlu – Mustapha

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Rakyat diseru untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan harian sebagai langkah bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, pendekatan berhemah itu penting memandangkan dunia sedang berdepan cabaran ekonomi yang dipengaruhi oleh konflik geopolitik antarabangsa.

Beliau berkata, walaupun keadaan semasa belum mencapai tahap kritikal, langkah awal perlu diambil bagi mengurangkan impak sekiranya krisis berlarutan.

“Kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berakhir. Jika berpanjangan, kesannya kepada ekonomi boleh menjadi lebih besar.

“Jadi sekarang adalah masa terbaik untuk kita berjimat cermat,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan pembelian baju raya kepada murid-murid kategori asnaf Parlimen Sepanggar di sini pada Khamis.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, amalan itu bukan sahaja melibatkan individu, malah turut diterapkan dalam pentadbiran kerajaan termasuk pengurangan penganjuran acara berskala besar.

Beliau berkata, ia termasuklah penganjuran sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri semua kementerian dan agensi Kerajaan pada tahun ini.

“Jika diadakan sekalipun, ia hendaklah dalam skala kecil sebagai langkah menyampaikan mesej berjimat cermat kepada rakyat.  Ini penting untuk menunjukkan bahawa kita semua perlu berjimat,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat terpelihara dengan menjamin bekalan keperluan asas mencukupi serta mengekalkan kestabilan harga barangan penting seperti bahan api.

Tambahnya, rakyat disaran memberi keutamaan kepada perbelanjaan keperluan berbanding kehendak, serta merancang kewangan dengan lebih teliti khususnya menjelang musim perayaan.

“Yang penting kita elakkan pembaziran dan fokus kepada perkara yang benar-benar perlu,” jelasnya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa agar keadaan ekonomi global kembali stabil dan konflik antarabangsa dapat diselesaikan segera, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negara. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tinggal lebih masa di Sabah, warga Filipina didenda RM10,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular