MATUNGGONG: Empat lantikan baharu Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dijangka memperkukuh penyampaian perkhidmatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, yang mempunyai jumlah kampung terbanyak di Sabah.
Kawasan itu merangkumi 152 kampung yang diwartakan, dengan 147 daripadanya mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong merangkap Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata penambahan itu menjadikan keseluruhan 12 anggota UPPM di kawasan berkenaan, sekali gus meningkatkan keupayaan pasukan dalam menyelaras tugas serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, pemilihan kakitangan dibuat berdasarkan semangat kerjasama dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kelancaran gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, ketua jabatan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) turut diberi kuasa untuk menyelaras serta mengagihkan tugas kepada semua kakitangan supaya setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Semua kakitangan perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab dalam membantu kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam memastikan kesiapsiagaan di peringkat lapangan,” katanya ketika majlis pelantikan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan semangat kerjasama dalam kalangan kakitangan serta mengingatkan agar tiada pihak menyalahgunakan jawatan untuk mengugut atau memberi tekanan kepada rakan sekerja.
“Amalan kerja yang profesional dan saling menghormati perlu menjadi asas dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Turut hadir PPM Matunggong, Epson Kawahui; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin; mantan ADUN Matunggong merangkap Timbalan Ketua Bahagian Matunggong Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Sarapin Magana; serta Setiausaha Politik kepada Menteri KWKKR, Marius Masain.



