HomeUtamaKita bekerja untuk rakyat – Jamawi

Kita bekerja untuk rakyat – Jamawi

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan setiap amanah yang dipikul oleh penjawat awam dan agensi kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar memegang jawatan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu menuntut semua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar.

“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi di peringkat bawahan kita gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita bukan sekadar menjawat jawatan, tetapi memastikan rakyat dilayani dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Ibu Pejabat LIGS, Wisma Pertanian, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap aduan rakyat termasuk melalui media sosial, dan akan segera menyalurkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut.

“Saya layan semua aduan, termasuk di Facebook. Kalau ada yang mengadu jalan pertanian rosak atau tanah tidak diusahakan, saya akan ambil tangkap layar dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus diambil.

“Itu yang saya mahu, kita bekerja untuk rakyat,” katanya.

Jamawi turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah berkhidmat dalam bidang penyelidikan pertanian serta menghargai tunjuk ajar pegawai kanan yang membentuk perjalanan kerjayanya hingga ke hari ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga LIGS baharu atas pelantikan masing-masing, sambil berharap mereka dapat memperkukuh peranan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, pelantikan tersebut perlu dilihat sebagai satu amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi serta keikhlasan dalam membantu masyarakat.

“Kita perlu pastikan setiap usaha yang dilaksanakan mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, walaupun kecil, ia tetap bermakna,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan rakyat di luar bandar tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas yang baik untuk menjalani kehidupan seharian.

“Mereka hanya mahu jalan yang baik, kemudahan asas yang sempurna. Bila kita bantu, mereka sangat menghargainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.

“Ini adalah amanah besar yang perlu kita pikul bersama. Laksanakanlah sebaik mungkin agar kita mendapat keberkatan dan dipermudahkan dalam setiap urusan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Bersepadu ESSCOM kesan pelbagai kesalahan di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular