HomeUtamaDUN Sabah : LIGS Salur BMT Pekebun Kecil Getah

DUN Sabah : LIGS Salur BMT Pekebun Kecil Getah

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah di Sabah sebanyak RM600 seorang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pembayaran BMT sebanyak RM36,949,715 kepada 61,583 pekebun kecil getah telahpun dilaksanakan untuk pembayaran BMT tahun 2020 yang dilaksanakan awal tahun ini.

Katanya, LIGS juga akan menyalurkan pembayaran BMT tahun ini kepada 86,323 pekebun kecil getah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM51,793,800 pada 13 Disember ini.

“Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) seperti penanaman nanas MD2, halia, pisang dan penternakan ikan tilapia akan terus dilaksanakan bagi membolehkan para pekebun kecil memperolehi pendapatan tambahan selain daripada hasil getah.

“Bagi bencana alam, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mewujudkan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) yang dahulunya dikenali sebagai Tabung Bencana Pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Fairuz Renddan (BERSATU – Pintasan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dr Jeffrey berkata, PPSPA bertujuan untuk membantu meringankan bebanan kumpulan sasar iaitu penternak, petani, nelayan, pengusaha akuakultur, pengusaha agro pelancongan, Industri Makanan dan  Asas Tani (IMAT) yang terkesan akibat bencana.

Katanya, jenis-jenis bencana yang diliputi adalah bencana alam seperti banjir, ombak besar, ribut taufan, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan tanah runtuh.

“Selain itu, bencana seperti wabak penyakit ternakan, serangan serangga perosak, ledakan Alga (Algal bloom/Red Tide), serangan hidupan liar, pencemaran alam, jerebu, kebakaran, kejadian empangan atau takungan air pecah dan lain-lain bencana yang bukan disebabkan oleh kecuaian manusia juga merupakan jenis-jenis bencana yang diberi bantuan di bawah PPSPA. 

“Bantuan yang ditawarkan adalah dalam bentuk peralatan pertanian, baja, benih, kerja tanah dan lain-lain yang bersesuaian bagi petani tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, makanan ternakan dan fertigasi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jeffrey berkata, Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan khusus kepada pengusaha padi yang terjejas akibat kawasan sawah yang dilanda banjir melalui program Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP). 

Katanya, program ini diselaraskan oleh MAFI Putrajaya dan kadar bantuan kewangan yang diberikan bagi tanaman padi berumur di bawah 70 hari adalah sebanyak RM876.00/hektar manakala bagi tanaman padi berumur 70 hari ke atas adalah sebanyak RM1,800.00/hektar.

“Jumlah maksimum yang layak diberi bantuan bagi setiap pesawah adalah 3 hektar,” katanya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular