HomeSukanPiala Cabaran : Sabah FC tekad bawa bekalan berharga dari Pulau Pinang

Piala Cabaran : Sabah FC tekad bawa bekalan berharga dari Pulau Pinang

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan keputusan positif pada aksi pertama final MFL Challenge Cup 2025/2026 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, esok.

Ketua jurulatih, Juan Torres Garrido, berkata pasukannya kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik hasil tempoh latihan yang berjalan lancar menjelang perlawanan penting itu.

Beliau berkata, persiapan rapi yang dilakukan membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan taktikal bagi memastikan Sabah FC tampil lebih bersedia.

“Kami melalui tempoh latihan yang baik dan membuat persiapan sebaik mungkin. Kami menjangkakan dapat mengawal lebih banyak aspek permainan dalam perlawanan ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurut Juan, sasaran utama pasukan adalah untuk meraih kemenangan, namun beliau mengakui final yang berlangsung secara timbal balik memerlukan pendekatan lebih strategik.

“Ini adalah final dua perlawanan, jadi tidak ada keputusan muktamad selepas aksi pertama. Keputusan yang baik adalah penting, tetapi bukan penentu sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai Penang FC, Juan menjangkakan lawan akan tampil dengan motivasi tinggi memandangkan kepentingan aksi final itu.

“Ini adalah perlawanan akhir dan kami menjangkakan mereka akan sama bersemangat seperti kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Sabah FC dapat mempersembahkan aksi terbaik untuk penyokong, selain menyuntik semangat menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas 19 April ini.

“Kami mahu memberikan persembahan yang baik supaya penyokong lebih bersemangat untuk hadir dan menyokong pasukan pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Aksi pertama final MFL Challenge Cup 2025/2026 antara Penang FC dan  Sabah FC dijadual berlangsung Sabtu ini jam 9 malam di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Sabah FC tewas kepada Imigresen FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular