HomeUtamaKerajaan Perkukuh OPS Tiris 4.0, Aktifkan JTPAP Tangani Ketirisan dan Penyeludupan

Kerajaan Perkukuh OPS Tiris 4.0, Aktifkan JTPAP Tangani Ketirisan dan Penyeludupan

Read Time:2 Minute, 21 Second

PUTRAJAYA,  – Kerajaan mengaktifkan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) sebagai langkah memperkukuh usaha menangani ketirisan serta penyeludupan barang kawalan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Haji Fadillah Yusuf berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, susulan peningkatan risiko penyelewengan akibat ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat.

“Pengaktifan JTPAP bertujuan memperkasa penyelarasan antara agensi penguatkuasaan serta memperketat pemantauan terhadap ketirisan barang kawalan, terutama bahan api diesel dan petrol,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman, KSU KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam.

Menurutnya JTPAP dianggotai oleh KPDN sebagai urus setia, selain Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bersama agensi penguatkuasaan berkaitan.

“ mesyuarat pertama jawatankuasa itu pada 16 Mac lalu turut memutuskan pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) secara menyeluruh bermula tarikh sama.

“ Sepanjang tempoh 16 Mac hingga 5 April 2026, operasi bersepadu itu merekodkan sebanyak 8,148 pemeriksaan dengan 155 kes dikesan.

“Daripada jumlah itu, 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta, 47 kes petrol RON95 (RM51,299), 21 kes gas petroleum cecair (LPG) (RM37,822), serta 27 kes melibatkan barangan keperluan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat susulan JTPAP hari ini memutuskan beberapa langkah strategik bagi memperkukuh pelaksanaan operasi bersepadu tersebut.

Antaranya termasuk menetapkan agensi peneraju mengikut sektor, iaitu KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sektor sempadan, serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi sektor perairan.

Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta subsidi diesel nelayan sekiranya berlaku penyalahgunaan.

Selain itu, kawal selia terhadap aktiviti bunkering akan dipertingkat, di samping penubuhan pasukan khas (task force) OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Sarawak.

Pasukan khas tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan KPDN negeri bertindak sebagai sekretariat serta melibatkan agensi berkaitan di peringkat negeri.

Kerajaan turut bersetuju memperluaskan pelaksanaan SKDS melalui penggunaan fleet card bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menurut Fadillah lagi beberapa syor strategik hasil mesyuarat itu akan dibentangkan secara berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan kestabilan bekalan negara terus terjamin.

“Kerajaan amat prihatin terhadap ketidaktentuan geopolitik global yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan serta kestabilan harga tenaga dan barangan keperluan.

“Namun, kesiapsiagaan negara telah diperkukuh melalui langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Keputusan Mahkamah Rayuan tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40%...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular