HomeUtamaAplikasi Kebun Dapur bakal dilancar bulan depan

Aplikasi Kebun Dapur bakal dilancar bulan depan

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur di Sabah bakal diperkasa menerusi pelancaran aplikasi digital khusus yang memudahkan pemasaran hasil pertanian dan ternakan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, aplikasi dikenali sebagai “Kebun Dapur App” itu dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh sebulan lagi bagi memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan di peringkat komuniti.

Menurutnya, pembangunan aplikasi berkenaan membolehkan pengguna mengetahui bekalan semasa hasil pertanian dan ternakan di seluruh negeri hanya melalui telefon pintar.

“Melalui aplikasi ini, kita boleh mengetahui jumlah bekalan sayur seperti kobis di Kundasang atau bekalan ikan tilapia di seluruh Sabah pada sesuatu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus ternakan ayam penelur di Kampung Karambunai Baru, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, hari ini.

Jamawi menjelaskan, aplikasi itu turut menghubungkan pengeluar dengan pembeli secara terus sekali gus membantu perancangan permintaan dan penawaran.

“Petani boleh memaklumkan lebih awal, contohnya pengeluaran 100 kilogram bendi pada tarikh tertentu dan pembeli boleh terus membuat tempahan melalui aplikasi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah mengurangkan pembaziran hasil pertanian.

Dalam masa sama, beliau berkata aplikasi itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang sering menjejaskan pendapatan petani.

“Situasi orang tengah membeli hasil pada harga rendah di kampung tetapi menjual pada harga tinggi di bandar adalah tidak adil kepada petani,” katanya.

Sehubungan itu, Jamawi berkata penggunaan aplikasi berkenaan dijangka meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui akses pasaran yang lebih telus.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif Kebun Dapur yang digerakkan kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan secara sara diri di peringkat isi rumah.

Katanya, program itu menggalakkan masyarakat menternak ayam, itik serta menanam sayur-sayuran di sekitar rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.

“Jika ada sumber makanan sendiri, isu kenaikan harga ayam, ikan atau sayur dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan Sabah ketika ini masih bergantung sehingga 95 peratus kepada import makanan ternakan, sekali gus menyebabkan kos meningkat ketika berlakunya krisis global.

“Apabila harga makanan ternakan meningkat, kos pengeluaran turut naik dan akhirnya pengguna menanggung harga lebih tinggi,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan negeri mempergiat latihan dan bimbingan kepada komuniti melalui program Kebun Dapur dengan bantuan mentor berpengalaman.

Menurutnya, kursus seperti ternakan ayam penelur serta penghasilan dedak menggunakan sumber tempatan dilaksanakan secara praktikal di lapangan.

“Kita tidak melaksanakan program di hotel, sebaliknya terus di lapangan supaya peserta dapat melihat dan memahami kaedah pelaksanaan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan turut mengaktifkan pusat pengumpulan hasil pertanian dan ternakan di setiap kawasan Parlimen bagi memudahkan pemasaran lebihan hasil.

Dalam pada itu, Jamawi berharap lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian dan ternakan sebagai usahawan.

“Dengan sokongan teknologi seperti aplikasi Kebun Dapur, kita yakin sektor ini mampu berkembang dan menjana pendapatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PBS Karanaan sokong pendirian Masidi berhubung isu kereta kabel di Gunung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular