HomeUtamaKeutamaan projek mendesak, beri impak segera kepada rakyat – Hajiji

Keutamaan projek mendesak, beri impak segera kepada rakyat – Hajiji

Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada projek keperluan mendesak serta yang boleh dilaksanakan segera dan memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya melibatkan institusi pendidikan dan hospital.

Beliau berkata, berdasarkan laporan MyProjek, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melibatkan 1,233 projek dan program, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri seiring aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Saya mahu pemantauan lebih kerap dilaksanakan bagi memastikan projek pembangunan tidak mengalami kelewatan.

“Sebarang isu pelaksanaan perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran tepat termasuk agensi pusat dan Kerajaan Negeri, khususnya melibatkan peruntukan, tanah dan utiliti,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menekankan pelaksanaan segera projek berskala kecil atau ‘low-hanging fruit’ yang mampu memberi impak pantas kepada rakyat.

Katanya, projek berkenaan perlu dilaksanakan secara cekap, mengikut jadual dan berintegriti supaya manfaatnya dapat dinikmati tanpa kelewatan.

“Tidak sewajarnya projek dalam kategori ini menjadi lewat atau sakit, yang lazimnya berpunca daripada isu setempat seperti pemilikan tanah dan utiliti.

“Saya mahu agensi pelaksana serta pemilik projek meningkatkan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 merupakan kesinambungan agenda pembangunan di bawah SMJ.

Beliau berkata, pelaksanaan SMJ 2.0 (2026–2030) meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai tonggak utama bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam arus pembangunan.

“Dengan belanjawan negeri berjumlah RM12.02 bilion bagi tahun 2026, sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang akan memacu aktiviti ekonomi di seluruh daerah,” katanya.

Tambahnya, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), khususnya untuk membantu golongan rentan.

Hajiji berkata kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 menuntut perubahan berterusan dari segi pemikiran, cara kerja dan penciptaan nilai baharu.

“Fokus kerajaan negeri kekal kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur dan jaringan hijau.

“Ia termasuk mempercepat penyelesaian isu bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya, khususnya Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pelaporan projek tertangguh dalam mesyuarat bagi memastikan isu pelaksanaan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

“Kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek kerana ia boleh meningkatkan kos dan merugikan kerajaan.

“Saya mahu semua pihak terus komited menyelesaikan isu kelewatan, khususnya projek ‘low-hanging fruit’ yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Sabah gagalkan cubaan seleweng minyak diesel

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular