KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan secara rasmi Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK sebagai langkah proaktif memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di bandar raya ini.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata pelan hala tuju tersebut merupakan langkah strategik untuk memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di ibu negeri Sabah.
“Ini juga salah satu rangka kerja induk yang menyelaraskan komponen teras organisasi merangkumi sumber manusia, proses, data, sistem dan teknologi seterusnya bertindak sebagai tulang belakang kepada transformasi menyeluruh DBKK.
“EA berfungsi sebagai kompas organisasi yang membimbing kita ke arah transformasi digital secara holistik dan mewujudkan platform yang merapatkan jurang antara pengurusan atasan, jabatan operasi serta pasukan teknologi.

“Kita tidak boleh membina perkhidmatan digital yang hebat di atas asas yang rapuh. Pelan hala tuju ini adalah blue print bagi memastikan sistem dalaman kita diselaraskan sebelum kita beralih kepada pembangunan Super App DBKK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK, di sini pada Ahad.
Joniston berkata, Super App DBKK mengintegrasikan pelbagai saluran perkhidmatan di bawah satu bumbung dengan prinsip ‘satu platform, pelbagai saluran, sifar kerumitan’.
“inisiatif berkenaan akan membolehkan warga Kota Kinabalu mengakses perkhidmatan DBKK pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, termasuk memudahkan urusan permohonan, pembayaran, kelulusan serta maklum balas tanpa perlu hadir ke kaunter secara fizikal.
“Pendekatan pelbagai saluran ini memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, termasuk warga emas atau mereka yang kurang mahir teknologi. Inilah janji kami untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan berpaksikan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Joniston turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga DBKK atas pengiktirafan sebagai Smart City Early Adopter 2025 yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Oktober tahun lalu.
“Pencapaian itu mengukuhkan lagi aspirasi Kota Kinabalu untuk menjadi bandar raya mesra digital yang mampan, selaras dengan keperluan urbanisasi dan jangkaan awam yang semakin meningkat.
“Keperluan untuk transformasi kini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu imperatif. Kita sedang meletakkan asas untuk Kota Kinabalu yang lebih pintar dan gagah menerusi prinsip ‘Satu Bandar, Satu Data, Satu Hala Tuju’,” katanya.
Joniston turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku rakan kolaborasi utama yang menyumbangkan kepakaran akademik dan teknikal dalam menjayakan pembangunan pelan tersebut.



