HomeUtamaInkues Zara: ‘Saya tidak nampak luka di belakang kepala mangsa’ - Saksi

Inkues Zara: ‘Saya tidak nampak luka di belakang kepala mangsa’ – Saksi

Read Time:3 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner mendengar bahawa tiada pendarahan aktif dikenal pasti pada bahagian kepala Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir semasa penilaian dilakukan di lokasi kejadian pada 16 Julai 2025.

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kinarut Mohd Faiszal Md Saimi, 40, yang membuat pemeriksaan awal tersebut berkata keutamaan diberikan kepada menjaga kestabilan saluran pernafasan mangsa.

“Saya tidak nampak luka di belakang kepala mangsa kerana rambut mangsa tebal dan saya tidak dapat membuat pemeriksaan secara terperinci kerana saya perlu menjaga kestabilan saluran pernafasan mangsa serta pendarahan tersebut bukanlah pendarahan yang aktif,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Saksi menjelaskan bagi pesakit yang disyaki mengalami kecederaan otak traumatik serius (severe traumatic brain injury), penjagaan saluran pernafasan mangsa perlu diutamakan untuk memastikan bekalan oksigen yang sampai ke otak berada pada tahap optimum.

Terdahulu dalam pernyataan saksinya, Mohd Faiszal berkata beliau menerima panggilan dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) sekitar jam 3.23 pagi pada 16 Julai 2025 berhubung kes pelajar jatuh di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian menaiki ambulans yang dipandu oleh rakan sekerja saya. Kami bergerak dari klinik sekitar jam 3.34 pagi dan tiba di tempat kejadian sekitar jam 3.45 pagi,” katanya.

Setibanya di lokasi, beliau melihat seorang pelajar perempuan terbaring di atas lantai simen di tepi bangunan asrama.

“Pelajar perempuan yang terbaring tersebut memakai baju sukan sekolah berwarna putih dan berseluar panjang sukan warna hitam tanpa memakai tudung.

“Saya kemudian bertanya kepada orang-orang yang berada di sana apa yang sudah terjadi. Menurut seorang guru perempuan, pelajar tersebut telah jatuh dari tingkat 3 asrama namun tiada saksi yang melihat,” katanya.

Mohd Faiszal berkata beliau mendapati pelajar perempuan tersebut iaitu Zara tidak sedarkan diri.

“Saya terus membuat pemeriksaan ke atas pelajar perempuan tersebut dengan memanggil nama tetapi tiada tindak balas. Saya kemudiannya memeriksa saluran pernafasan pelajar perempuan tersebut dan mendapati beliau bernafas dalam keadaan normal.

“Untuk pemeriksaan seterusnya, saya memeriksa mata pelajar perempuan tersebut dan saya dapati biji mata hitam beliau tidak memberi reaksi pada respond cahaya. Tiada suara mahupun bunyi yang keluar dari mulut pelajar tersebut. Pemeriksaan fizikal juga mendapati pelajar tersebut tidak memberikan apa-apa tindak balas.

“Ujian-ujian pemeriksaan ini dipanggil “Glasgow Coma Scale”. Hasil daripada skala “Glasgow coma scale” yang dijalankan terhadap pelajar perempuan tersebut, saya mendapati bacaan 3/15 iaitu bacaan skala terendah,” katanya.

Mohd Faiszal berkata beliau memasang “cervical collar” pada leher Zara dengan bantuan guru lelaki dan mendapati ada sedikit darah melekat pada sarung tangannya.

“Saya dapati juga ada kecacatan pada pergelangan kaki kiri pelajar perempuan tersebut yang berkemungkinan disebabkan oleh kepatahan tulang. Terdapat luka tembus di tumit kaki kiri pelajar tersebut berkemungkinan akibat ditembusi tulang yang patah. Saya membalut luka tembus tersebut dan memasang “splint” pada kaki pelajar perempuan tersebut,” katanya.

Beliau turut memasang “splint” pada tangan kiri selepas mendapati kecacatan pada pergelangan tangan kiri Zara yang berkemungkinan akibat kepatahan tulang.

Beliau kemudian mengarahkan pengawal keselamatan menghubungi rakan sekerja di ambulans bagi membawa peralatan seperti scope, stretcher dan selimut ke lokasi mangsa sebelum mangsa dipindahkan ke ambulans.

“Semasa dalam kereta ambulan saya terus memeriksa tekanan darah, bacaan oksigen, bacaan nadi dan kadar pernafasan pelajar perempuan tersebut menggunakan mesin. Pada ketika itu tekanan darah menunjukkan bacaan 108/83 mmHg (normal), bacaan nadi 82 perminit (normal), kadar pernafasan 20 perminit (normal) dan bacaan oksigen 98% dalam udara bilik (normal).

“Saya terus memasang oksigen menggunakan “hi-flow mask” untuk memberi bantuan pernafasan dan memasang jarum branula hijau pada tangan kanan mangsa. Saya terus bergerak ke Hospital Queen Elizabeth 1 ditemani oleh seorang guru Perempuan,” katanya sambil menambah mereka tiba di QEH jam 4.27 pagi.

Saksi berkata Zara dibawa masuk ke zon kritikal resusitasi atas arahan kakitangan QEH dan selepas urusan selesai beliau dan rakan sekerjanya pun balik ke Klinik Kesihatan Kinarut.

“Tiada sebarang gambar di ambil memandangkan peraturan jabatan tidak membenarkan kami mengambil gambar bgai menjaga privasi pesakit atau mangsa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UNK 2026 hanya tampil 25 finalis di peringkat akhir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular