HomeUtamaKPDN Sabah tumpas penyelewengan diesel, rampasan lebih RM22,000

KPDN Sabah tumpas penyelewengan diesel, rampasan lebih RM22,000

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sekitar bandar ini, pada Isnin (13 April).

Pegawai Penguat Kuasa sedang memeriksa peralatan tangki tambahan haram di salah sebuah kenderaan yang disita. -Foto ihsan KPDN Sabah

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara.

“Semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak perlu mematuhi sepenuhnya undang-undang bagi memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan secara adil, telus dan berkesan.

“KPDN Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Operasi kira-kira jam 12.05 tengah hari itu dijalankan hasil risikan Unit Risikan Sabah sebelum sepasukan anggota penguat kuasa KPDN digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua kenderaan yang diparkir di pam nombor enam dan lapan disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel secara terancang.

“Kedua-dua kenderaan berkenaan didapati menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter dengan anggaran 800 liter diesel bagi setiap kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan sistem hos dan pam elektrik yang diubah suai, dipercayai untuk tujuan pengumpulan serta pengedaran diesel bersubsidi secara tidak sah.

“Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut diarahkan mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan, buku stok serta resit pembelian dan penjualan diesel, namun gagal berbuat demikian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan,” katanya.

Bagi kes pertama, rampasan melibatkan sebuah kenderaan Isuzu Trooper bersama tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM12,695.

Manakala kes kedua membabitkan rampasan sebuah van Toyota Lite Ace, tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta minyak diesel bernilai RM10,050.

Secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM22,745.

Orang awam turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN bagi membantu tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada ubat phenytoin diberi kepada Zara – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular