Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kapten pasukan Sabah FC Dominic Tan bertekad untuk memburu kejuaraan menjelang aksi final kedua Piala Cabaran bertemu Penang FC di Stadium Likas malam ini.
Pemain pertahanan The Rhinos itu turut menyifatkan perlawanan kali ini lebih seimbang berbanding aksid final pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Menurut beliau, pertemuan final pertama musim ini menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC merupakan cabaran besar memandangkan lawan memiliki kekuatan yang cukup hebat.
“Final pertama musim ini adalah menentang Johor dan mereka sememangnya pasukan yang sangat kuat.
“Namun kali ini, seperti yang dinyatakan jurulatih, saya melihat final ini lebih seimbang dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Cabaran yang bakal berlangsung malam ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sabah akan memberikan aksi terbaik bagi memastikan trofi kejuaraan menjadi milik mereka.
“Sudah tentu kami akan melakukan yang terbaik untuk memenangi trofi. Ini juga peluang besar buat kelab, pemain serta barisan kejurulatihan,” katanya.
Mengulas mengenai suasana perlawanan, beliau berharap sokongan padu penyokong akan terus menjadi pemangkin semangat pasukan.
“Perlawanan pertama di Pulau Pinang mempunyai suasana yang hebat. Kami harap suasana yang sama dapat diwujudkan di sini dengan kehadiran ramai penyokong untuk memberi sokongan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC



