KOTA KINABALU: Seramai lebih 400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1 (STAR1) menyertai kejohanan merentas desa yang berlangsung meriah di sini baru-baru ini.
Program yang disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Aru 1 Rezuanlly Asmari itu adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat kesukanan serta membina daya tahan fizikal dan mental dalam kalangan murid.
Rezuanlly ketika berucap berkata, kejohanan itu juga menunjukkan semangat juang peserta selain usaha, disiplin dan keberanian untuk melangkah hingga ke garisan penamat.

“Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan. Kepada yang belum berjaya, teruskan usaha kerana setiap langkah hari ini adalah pengalaman yang sangat berharga untuk kejayaan masa hadapan.
“Kejohanan seperti ini juga membuktikan bahawa apabila sekolah, guru, ibu bapa dan murid bergerak seiring, kita mampu melahirkan generasi yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya.
Hadir sama Penolong Kanan Kokurikulum SK Tanjung Aru 1 Rudiana Hashim.

Terdahulu, kejohanan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu tahap satu melibatkan sejauh satu kilometer dan tahap dua melibatkan jarak sejauh 3.5 kilometer.
Kejohanan itu merupakan satu aktiviti sukan tahunan yang sering dianjurkan di sekolah sebagai sebahagian daripada program kokurikulum dan pendidikan jasmani.
Aktiviti ini melibatkan larian jarak jauh di luar kawasan sekolah seperti jalan raya, kawasan kampung atau laluan berbukit.



