SANDAKAN: Kira-kira 200 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia, di sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.32 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
Katanya, setibanya pasukan ke lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan penempatan rumah atas air jenis tidak kekal musnah sepenuhnya.
“Operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan sempit yang menghalang pergerakan jentera ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, katanya keadaan air laut yang surut menyukarkan pasukan mendapatkan sumber air terbuka, manakala faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat mempercepatkan api merebak.
“Operasi pemadaman itu memperolehi sumber air daripada water tanker dan pili bertekanan milik kilang IOl,” katanya.
Operasi membabitkan seramai 35 anggota iaitu 30 dari BBP Sandakan dan lima dari BBP Kinabatangan, dengan bantuan agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).



