HomeUtamaSelat Melaka Kekal Aman, Malaysia Tegaskan Komitmen Pertahan Kestabilan Serantau

Selat Melaka Kekal Aman, Malaysia Tegaskan Komitmen Pertahan Kestabilan Serantau

Read Time:2 Minute, 27 Second

KUALA LUMPUR, Malaysia menegaskan bahawa keselamatan dan kestabilan di Selat Melaka kekal terjamin, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, situasi di rantau Asia Tenggara adalah berbeza sama sekali berbanding konflik yang berlaku di kawasan lain, khususnya Asia Barat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), hari ini.

Menurut beliau, Malaysia bersama negara jiran seperti Indonesia dan Singapura terus komited mempertahankan prinsip kebebasan navigasi dan keselamatan laluan perdagangan antarabangsa, khususnya di Selat Melaka yang merupakan antara laluan maritim paling sibuk di dunia.

“Apa yang berlaku di kawasan lain tidak semestinya akan berlaku di rantau ini. Kita mempunyai konteks, sejarah dan mekanisme kerjasama yang berbeza,” katanya.

Tambah beliau, negara-negara di Asia Tenggara telah lama mengamalkan pendekatan diplomasi dan kerjasama serantau dalam memastikan kestabilan berterusan, sekali gus mengelakkan konflik berskala besar.

Mengulas kebimbangan terhadap kemungkinan kesan limpahan konflik luar ke rantau ini, beliau menegaskan bahawa tiada petunjuk menunjukkan situasi sedemikian akan berlaku di Selat Melaka.

“Malaysia, Indonesia dan Singapura berkongsi tanggungjawab memastikan laluan ini kekal selamat, stabil dan terbuka kepada perdagangan global,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh peranan platform seperti DSA yang disifatkan sebagai ruang neutral bagi negara dan syarikat industri pertahanan berinteraksi, tanpa menjejaskan pendirian dasar luar Malaysia.

Katanya, penyertaan pelbagai pihak dalam pameran tersebut tidak seharusnya disalah tafsir, sebaliknya dilihat dalam konteks kerjasama industri dan keperluan pertahanan negara.

“DSA adalah platform profesional dan bersifat tertutup kepada industri. Ia juga memberi ruang kepada Malaysia menilai teknologi serta keupayaan terbaik untuk keperluan negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Khaled Nordin turut menegaskan bahawa teknologi moden akan menjadi asas utama kepada pembangunan pertahanan dan keselamatan masa hadapan negara, selaras dengan tema Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia Exhibition and Conference (DSA))ini.

Katanya penganjuran DSA kali ini dibuat dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu, namun Malaysia tetap berjaya meneruskan acara tersebut sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali.

“Walaupun berdepan cabaran global termasuk isu logistik dan konflik serantau, DSA kekal sebagai platform penting yang menghimpunkan pelbagai negara dan syarikat industri pertahanan,” katanya

Menurut beliau, edisi kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan delegasi antarabangsa berbanding tahun sebelumnya, dengan negara seperti Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali, Amerika Syarikat, India dan Republik Korea antara peserta utama.

Dari segi saiz pavilion, China mencatatkan penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Turkiye (87) dan Amerika Syarikat (83). Selain itu, DSA 2026 turut menyaksikan penyertaan pavilion baharu dari beberapa negara termasuk Finland, Hungary, Jepun dan Rusia.

Dalam masa sama, sebanyak 368 syarikat tempatan turut mengambil bahagian, mencerminkan perkembangan positif industri pertahanan negara.

Khaled berkata antara kelainan DSA tahun ini ialah pengenalan lima segmen baharu, termasuk pavilion Coalition of Defence Industries Malaysia yang menghimpunkan syarikat tempatan bagi mempamerkan keupayaan industri domestik.

“Inisiatif ini selaras dengan dasar industri pertahanan negara yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan aset pertahanan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu ‘Zero Pending’: JKNS tegaskan layanan saksama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular