HomeUtamaPenglibatan sekolah dalam perlindungan harta intelek masih rendah

Penglibatan sekolah dalam perlindungan harta intelek masih rendah

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Penglibatan sekolah dalam perlindungan harta intelek masih berada pada tahap rendah walaupun menunjukkan perkembangan yang positif dari semasa ke semasa.

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Riduan Rubin berkata, sebanyak 346 notifikasi hak cipta melalui Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta (CVN) telah direkodkan melibatkan sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa kesedaran untuk melindungi karya kreatif dalam kalangan pelajar dan guru semakin meningkat.

“Bagi Sabah, sejumlah 34 notifikasi CVN telah difailkan sejak tahun 2023, namun permohonan bagi komponen lain masih rendah iaitu satu cap dagangan dan tujuh paten.

“Data ini menunjukkan bahawa walaupun aktiviti penciptaan dalam kalangan pelajar semakin berkembang, langkah untuk melindungi inovasi yang mempunyai potensi nilai komersial masih belum dimanfaatkan secara optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program IP Talk – Game On : Create Protect. Own sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2026 di Sekolah Sukan Malaysia Sabah di sini pada Rabu.

Riduan berkata, bagi komponen harta intelek lain, jumlah permohonan yang direkodkan masih rendah, iaitu 12 permohonan cap dagangan, sembilan permohonan paten dan enam permohonan reka bentuk perindustrian yang melibatkan pihak sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun pelajar aktif menghasilkan karya kreatif, perlindungan terhadap inovasi dan penciptaan yang berpotensi untuk dikomersialkan masih belum diberi penekanan yang sewajarnya.

“Statistik ini memberi satu mesej yang jelas, iaitu pelajar mempunyai idea dan kreativiti, namun langkah untuk melindungi dan memanfaatkan idea tersebut sebagai aset bernilai masih perlu diperkukuhkan.

” Jika dilihat kepada negeri-negeri yang terlibat dalam program pada hari ini, data menunjukkan bahawa potensi dalam kalangan pelajar adalah amat besar, namun tahap pemanfaatan perlindungan harta intelek masih boleh dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada, Riduan berkata, pihaknya akan terus komited untuk memperluaskan kesedaran harta intelek di semua peringkat masyarakat. 

Beliau berkata, usaha itu penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga memahami nilai perlindungan terhadap hasil ciptaan.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar pengguna idea, tetapi pencipta dan pemilik kepada inovasi mereka sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Marah ditegur had diesel, lelaki didenda RM25 kencing di lantai stesen...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular