PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat dan Media Jabatan Perdana Menteri, peruntukan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menggantikan titian yang roboh pada 22 Mac lalu sehingga menyebabkan beberapa penduduk terjatuh ke dalam laut ketika ziarah Aidilfitri.
“Peruntukan yang diluluskan akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula titian pejalan kaki yang lebih kukuh dan selamat, sekali gus menggantikan struktur lama yang uzur dan berisiko.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai Ihsan dan Kesejahteraan, di samping memperkukuh pembangunan infrastruktur inklusif,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, pelaksanaan projek tersebut akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Sabah bagi memastikan ia disiapkan segera demi kemudahan penduduk.
Keputusan pantas berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk setempat serta keutamaan yang diberikan kepada aspek keselamatan awam.
“Keselamatan dan kualiti hidup rakyat kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, dengan komitmen memastikan tiada komuniti terpinggir daripada menikmati kemudahan asas yang selamat,” katanya.



