KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus melaksanakan inovasi dan pembaharuan dalam pengurusan organisasi bagi memastikan parti kekal relevan serta berdaya saing dalam landskap politik yang semakin mencabar.
Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan organisasi menjadi lemah, tidak berkembang dan akhirnya kehilangan sokongan.
Menurutnya, perancangan masa depan parti termasuk melahirkan pelapis kepimpinan berkualiti perlu diberi keutamaan bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Khas Ketua-Ketua Bahagian serta kepimpinan Wanita, Pemuda dan Beliawanis peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pengurusan tersusun dari peringkat bahagian hingga akar umbi amat penting bagi memastikan setiap struktur kepimpinan berfungsi secara efektif.

Katanya, konsep kepimpinan berpasukan perlu menjadi teras utama dalam memperkukuh organisasi, berbanding hanya bergantung kepada kekuatan individu atau nama parti semata-mata.
“Setiap bahagian perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan bersatu bagi memastikan kekuatan parti secara keseluruhan,” katanya.
Tambah beliau, dengan perancangan rapi serta pembaharuan berterusan, parti akan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dan mampu menangani cabaran politik dengan lebih berkesan.
Masidi turut mengingatkan pemimpin dan ahli parti agar mengambil iktibar daripada kejatuhan beberapa parti politik besar sebelum ini akibat kegagalan melakukan pembaharuan dalam pengurusan organisasi.



