KOTA KINABALU : Penganjuran ‘Mayor’s Cup Petanque Double Open’ yang julung kali diadakan sempena ulang tahun ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu berupaya memupuk semangat kesukanan, toleransi dan kerjasama dalam kalangan warga bandar raya.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, program sukan komuniti itu bukan sekadar pertandingan, malah menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat.
Beliau berkata, program itu juga menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu dan memperluas jaringan hubungan antara kelab, persatuan dan pemain petanque di seluruh Sabah.
“Penyertaan kali ini melibatkan 150 pasukan dari seluruh Malaysia, termasuk pemain kebangsaan yang pernah beraksi di World Cup dan Sukan SEA, serta pasukan SUKMA Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Sabah. Saya yakin acara ini akan merancakkan lagi sukan petanque di bandar raya ini.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kejohanan ini bukan sahaja menyokong pembangunan sukan, malah berpotensi menjadi acara tahunan yang membantu perkembangan aktiviti sosial dan peningkatan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian ‘Mayor’s Cup Petanque Double Open’ di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong,
Sabin berkata, pihaknya turut berbesar hati dengan kerjasama penganjuran daripada Persatuan Sukan Boules Sabah dan Kelab Boules BAYU.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa kerja yang telah bekerja keras menjayakan kejohanan ini dan semua yang terlibat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK



