BEAUFORT: Daerah Beaufort dipilih sebagai lokasi seterusnya bagi pelaksanaan program Jelajah Kebun Dapur yang akan berlangsung pada 16 Mei ini, dalam usaha berterusan kerajaan negeri memperkasa ekonomi rakyat melalui pertanian skala kecil.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang akan diadakan di Dataran Bagandang itu memberi fokus kepada penyediaan bantuan terus kepada masyarakat termasuk bekalan asas pertanian dan ternakan.
Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah pemberian bibit sayur-sayuran secara percuma selain jualan anak ayam, anak itik, anak puyuh serta pelbagai benih tanaman pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran.

“Ini adalah peluang terbaik kepada masyarakat khususnya di Beaufort untuk memulakan kebun dapur sendiri, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Kursus Asas Fertigasi, Hidroponik dan Penternakan Kambing di sini baru-baru ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, program itu turut menampilkan pelbagai konsep kebun dapur moden dan praktikal yang sesuai dilaksanakan di kawasan terhad termasuk di halaman rumah.
“Walaupun tidak mempunyai tanah yang luas, masyarakat masih boleh bercucuk tanam menggunakan kaedah yang lebih kreatif dan efisien,” jelasnya.
Tambah beliau, Jelajah Kebun Dapur merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menggalakkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti pertanian sebagai sumber makanan dan pendapatan tambahan.
Program berkenaan sebelum ini telah dilancarkan di Tuaran pada 15 Februari lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.



