HomeUtamaDUN Sabah : Sabah rancang insentif hadapi impak konflik global

DUN Sabah : Sabah rancang insentif hadapi impak konflik global

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang merancang pelaksanaan sokongan dan insentif bersasar bagi mengekalkan permintaan dan ketersambungan udara ke Sabah sepanjang tempoh konflik global yang berlaku pada masa kini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, konflik yang berlaku itu turut memberi kesan langsung terhadap industri pelancongan negeri khususnya melibatkan kos pengangkutan udara.

“Sebagai langkah mitigasi terhadap ketidaktentuan pasaran jarak jauh, tumpuan diberikan kepada pasaran domestik dengan mempergiat kempen pelancongan dalam negara bagi mengekalkan kestabilan industri sekiranya berlaku penurunan ketibaan pelancong antarabangsa.

“STB turut memberi fokus kepada pasaran China, Korea Selatan, Jepun serta negara-negara serantau yang kurang terkesan secara langsung oleh gangguan ruang udara global.

“Bagi mengimbangi peningkatan kos perjalanan, Sabah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium untuk menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai daya perbelanjaan lebih tinggi dan kurang terkesan oleh kenaikan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Justin Wong (Warisan-Sri Tanjong) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Jafry berkata, STB telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemain industri seperti persatuan pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha penginapan.

Katanya, sesi itu bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dari pemain industri dan seterusnya menyelaras strategi bersama bagi meningkatkan daya tahan industri pelancongan negeri dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat akibat situasi luar jangka.

“Untuk makluman Kementerian saya melalui STB akan mengadakan satu lagi sesi libat urus khas bagi membincangkan berhubung isu bekalan minyak diesel yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan.

“Kementerian akan terus komited dalam memastikan industri pelancongan tempatan kekal berdaya tahan dan mampan, di samping menyokong pemain industri untuk terus beroperasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Kenaikan harga minyak dunia tidak semestinya meningkatkan hasil negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular