HomeUtamaDUN Sabah : Sabah tegas tuntut hak 40 peratus

DUN Sabah : Sabah tegas tuntut hak 40 peratus

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tuntutan hak 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu kekal menjadi keutamaan, dengan fokus semasa diberikan kepada pembayaran yang sedang dirunding termasuk bagi tempoh 2022 hingga 2025.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Chong Chen Bin, berkata rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah masih berjalan di peringkat pegawai melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas.

Menurut beliau, dalam beberapa siri mesyuarat yang diadakan awal tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan sebahagian data hasil Persekutuan yang diperoleh di Sabah meliputi tempoh 1974 hingga 2025, merangkumi komponen seperti cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai serta hasil petroleum.

“Bagaimanapun, semua komponen ini masih dalam proses rundingan untuk diputuskan sama ada ia boleh diambil kira dalam pengiraan pemberian khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Alias Sani (Warisan-Sekong) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Chong berkata, data yang dikongsi setakat ini tidak boleh didedahkan kepada umum kerana tertakluk kepada proses rundingan antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Chong berkata Kerajaan Sabah telah menyatakan pendirian jelas melalui surat bertarikh 18 Mac lalu agar komponen hasil yang tidak mempunyai pertikaian dibayar terlebih dahulu sebagai bayaran interim.

“Bagi komponen yang masih dipertikaikan, ia akan dimuktamadkan kemudian selepas rundingan selesai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sabah juga telah menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membuat bayaran tuntutan pemberian khas bagi tahun 2022 hingga 2025 tanpa menunggu penyelesaian keseluruhan isu ‘lost years’.

Katanya, langkah itu selaras dengan keputusan terdahulu yang tidak melibatkan pertikaian bagi tempoh semasa, berbanding tuntutan bagi tahun-tahun terdahulu dari 1974 hingga 2021 yang kini tertakluk kepada proses perundangan.

“Tuntutan bagi tahun 2022 hingga 2025 adalah berasingan dan tidak seharusnya ditangguhkan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan pembayaran 40 peratus sementara menunggu keputusan rayuan berkaitan ‘lost years’.

Namun, katanya, penangguhan itu tidak menjejaskan usaha rundingan semasa termasuk perkongsian data, penilaian dan perbincangan teknikal antara kedua-dua kerajaan.

“Kerajaan Sabah tetap konsisten dan tidak akan berkompromi dalam menuntut hak negeri seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Itali teroka peluang kerjasama di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular