Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra mencadangkan agar sistem ‘Intruder Intervention System Vessel Monitoring System’ (iiVMS) digunakan dengan lebih tegas dan berkesan di perairan Papar.
Beliau berkata, terdapat aduan bahawa aktiviti kapal pukat tunda atau kapal komersial masuk terlalu dekat ke kawasan nelayan tradisional.
“Apabila kapal besar masuk ke kawasan nelayan kecil, kesannya bukan sedikit. Hasil tangkapan berkurang, peralatan rosak, kawasan tangkapan terganggu dan sumber laut semakin tertekan.
“Jika sistem pemantauan sudah ada, maka tindakan penguatkuasaan juga mesti lebih cepat. Nelayan kecil perlu melihat bahawa aduan mereka diambil serius.
“Mereka perlu yakin bahawa kawasan tangkapan tradisional mereka dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.
Saifuddin berkata, sistem itu dipasang pada kapal nelayan seperti pukat tunda dan jerut, bagi membolehkan pemantauan 24 jam terhadap pergerakan kapal komersial melalui web, komputer, tablet dan telefon pintar.
Berikutan itu, beliau mencadangkan empat langkah bagi mengatasi isu yang membelenggu nelayan tradisional.
Menurutnya, rondaan penguatkuasaan perlu ditingkatkan di kawasan perairan Papar yang sering menjadi aduan nelayan.
“Selain itu, saluran aduan nelayan perlu dipermudah, supaya aduan boleh dibuat dengan cepat dan selamat selain data iiVMS perlu digunakan untuk tindakan susulan, bukan hanya untuk pemantauan pasif.
“Kerajaan Negeri wajar mempertimbangkan penubuhan atau pengukuhan Skuad Rakan Laut Papar, yang melibatkan komuniti nelayan sebagai mata dan telinga kepada agensi penguatkuasaan,”‘katanya.
Menurutnya, ia bukan untuk mengambil alih tugas pihak berkuasa malah mempercepat maklumat, memperkukuh pengawasan komuniti dan menjaga sumber laut secara bersama. – SABAH MEDIA



