HomeUtamaKDN Perkasa Keupayaan Maritim: Radar Baharu Di Sabah & Pengawasan Selat Melaka...

KDN Perkasa Keupayaan Maritim: Radar Baharu Di Sabah & Pengawasan Selat Melaka Dipertingkat

Read Time:1 Minute, 40 Second

KUANTAN : Kerajaan akan memperkukuh keupayaan pengawasan maritim negara termasuk pemasangan radar baharu di Sabah serta peningkatan aset bagi memastikan keselamatan laluan strategik seperti Selat Melaka terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu sejajar dengan cabaran keselamatan global yang semakin kompleks, termasuk jenayah rentas sempadan dan ketegangan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada perairan negara.

Beliau berkata, antara usaha utama ialah pemasangan satu lagi radar di Sabah Utara dan Pantai Timur Sabah bagi melengkapkan sistem sedia ada, selain perolehan aset baharu untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Selat Melaka kekal sebagai laluan strategik dunia, dan tanggungjawab penguatkuasaan oleh APMM amat kritikal,” katanya dalam sidang media sempena Program Jelajah Wira MADANI APMM di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat tiga cabaran utama yang dihadapi negara dalam konteks keselamatan maritim

Jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia yang semakin sofistikated, Ketegangan geopolitik, khususnya di Laut China Selatan serta Ancaman bukan tradisional, termasuk penangkapan ikan haram dan pencemaran laut.

Sehubungan itu, kerajaan memberi penekanan kepada peningkatan profesionalisme anggota APMM serta pengukuhan aset, teknologi dan latihan.

Jelas Saifuddin Nasution lagi, kerajaan telah meluluskan beberapa perolehan utama termasuk Dua kapal “mothership” bernilai kira-kira RM800 juta, Empat helikopter AW189 sekitar RM700 juta serta Sistem radar baharu bernilai RM88 juta.

Selain itu, beberapa bot laju turut dalam proses perolehan bagi memperkukuh operasi di perairan negara.

Beliau berkata, penambahan aset tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini yang disifatkan sebagai “robust” bagi mempertingkat keupayaan penguatkuasaan maritim.

Mengulas mengenai situasi semasa di Selat Melaka, beliau menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian sebagai zon aman, bebas dan berkecuali, selari dengan prinsip “centrality” ASEAN.

Katanya, laluan itu amat penting kepada perdagangan global, dengan sebahagian besar bekalan tenaga dunia melalui kawasan tersebut berbanding hanya sekitar 20 peratus melalui Selat Hormuz.

“Kita tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan unilateral terhadap kawasan kita,” tegas beliau.

Tambahnya, Malaysia akan terus berinteraksi dengan semua pihak bagi mengekalkan status quo keamanan di laluan perairan antarabangsa itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Itali teroka peluang kerjasama di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular