HomeUtamaDUN Sabah: Sabah perlu sedia bina ekosistem AI – Chin

DUN Sabah: Sabah perlu sedia bina ekosistem AI – Chin

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Sabah disaran memperkukuh agenda pendigitalan melalui teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem digital bermula dari peringkat sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Chin Shu Ying berkata, dunia kini berada dalam era revolusi digital yang bergerak pantas ke arah penggunaan AI, justeru Sabah perlu bersedia lebih awal bagi mengelakkan negeri itu ketinggalan dari segi teknologi dan daya saing tenaga kerja.

“Jika Sabah tidak bersedia dari sekarang, kita akan ketinggalan, bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga dari segi daya saing tenaga kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikiam ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Menurutnya, pembangunan ekosistem AI tidak boleh hanya bermula di universiti, sebaliknya perlu dimulakan dari peringkat sekolah melalui pendedahan awal kepada kemahiran digital.

Beliau turut merujuk pendekatan negara lain seperti Singapura yang telah memperkenalkan AI dalam sistem pendidikan serta mendedahkan pelajar kepada kemahiran digital sejak awal.

“Saya ingin mencadangkan agar Sabah mengambil langkah yang sama atau sekurang-kurangnya memulakan inisiatif perintis (pilot project) di sekolah-sekolah,” katanya.

Namun, beliau menegaskan pelaksanaan pendidikan AI memerlukan sokongan lengkap termasuk peralatan (hardware), perisian (software) serta tenaga pengajar yang mahir, yang memerlukan kos tinggi.

“Sehubungan itu, saya ingin bertanya kepada pihak Kerajaan, adakah Kerajaan Negeri bersedia menyediakan peruntukan khas kepada sekolah-sekolah di Sabah bagi menjalankan kelas komputer dan pendidikan AI secara sistematik?,” katanya.

Dalam masa sama, Chin turut mengingatkan mengenai cadangan beliau pada tahun lalu supaya badan-badan profesional di Sabah diberikan peruntukan khas bagi meningkatkan penggunaan ‘Building Information Modelling’ (BIM) dalam industri pembinaan.

Beliau berkata, BIM bukan sekadar teknologi, tetapi asas kepada digitalisasi industri serta platform kepada integrasi AI dalam sektor pembinaan.

“Maka saya ingin bertanya, adakah Kerajaan berhasrat untuk meluluskan permohonan peruntukan ini bagi mempercepatkan penggunaan BIM dan seterusnya memperkukuh agenda AI di Sabah?” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki guna duit palsu dipenjara 5 tahun dan didenda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular