HomeUtamaDUN Sabah: Flat Pasir Putih Putatan alami keretakan, pihak berwajib digesa bertindak...

DUN Sabah: Flat Pasir Putih Putatan alami keretakan, pihak berwajib digesa bertindak segera

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Keretakan struktur bangunan Flat Pasir Putih, Putatan semakin serius dan dikhuatiri mengancam keselamatan nyawa penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, pihaknya sehubungan itu menggesa Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) khususnya mengambil tindakan lanjut sewajarnya.

“Saya ingin membawa suara kegelisahan penduduk mengenai isu penyelenggaraan rumah flat kos rendah yang dibangunkan oleh LPPB, sebuah agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), sebagai contoh Flat Pasir Putih, Putatan.

“Keadaan infrastruktur bangunan ini semakin hari semakin membimbangkan. Ia menunjukkan tanda-tanda kerosakan yang jelas, terutamanya keretakan bangunan di pelbagai sudut flat tersebut yang mengancam keselamatan nyawa penduduk, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Sementara itu, Shah Alfie meminta kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan rekaan pakej Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk rekaan rumah bertingkat.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan terdapat isu penempatan serta saiz tanah yang terhad terutamanya di kawasan Pantai Barat Sabah.

“Bagi kawasan pinggir pantai yang amat terhad ruang daratannya, saya menyarankan agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjelaskan perancangan untuk mempelbagaikan rekaan Rumah SMJ kepada rekaan Rumah Bertingkat pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, Rumah SMJ mencatatkan pembinaan sebanyak 4,482 unit seluruh Sabah sejak dilancarkan pada tahun 2022 oleh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, dalam perbahasan yang sama, Shah Alfie menyambut baik usaha Kerajaan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sistem kereta api moden dari Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar bagi mengukuhkan sistem logistik negeri.

“Ini adalah satu langkah proaktif yang amat tepat. Namun, keselamatan rakyat adalah keutamaan paling tinggi.

“Saya mengharapkan agar Kementerian Perindustiran, Keusahawanan dan Pengangkutan turut menjalankan satu kajian komprehensif terhadap perkhidmatan kereta api sedia ada yang kerap kali terlibat dalam insiden kemalangan, malah sehingga menyebabkan kemalangan jiwa yang tragis,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki guna duit palsu dipenjara 5 tahun dan didenda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular