HomeUtamaSabah bakal tuan rumah Persidangan Ketua Hakim Syarie, Simposium Perundangan Ogos ini

Sabah bakal tuan rumah Persidangan Ketua Hakim Syarie, Simposium Perundangan Ogos ini

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ketua-ketua Hakim Syarie dan Simposium Perundangan serta Kehakiman yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.

Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, penganjuran itu merupakan inisiatif besar yang memerlukan komitmen menyeluruh bagi memperkukuh sistem kehakiman Syariah di negara ini.

Beliau berkata program berkenaan akan menghimpunkan pegawai kehakiman, pengamal perundangan serta pihak berkepentingan dalam institusi perundangan negara, selain menjadi kesinambungan kepada persidangan pegawai Syariah seluruh Malaysia yang pernah diadakan di negeri ini pada 2005.

Datuk Mohd Amran Mat Zain

“Idea-idea yang pernah dikongsikan sebelum ini memberi kesan signifikan dan menjadi asas untuk direalisasikan dalam usaha penambahbaikan sistem sedia ada serta pengenalan idea-idea baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini.

Mohd Amran berkata, kunjungan pada kali ini adalah bertujuan untuk menjemput Tun Musa hadir seterusnya menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Amran memaklumkan antara fokus utama persidangan itu adalah untuk mempercepatkan proses pengadilan di Mahkamah Syariah, di samping meningkatkan keupayaan institusi tersebut dalam menangani isu-isu berkaitan umat Islam secara lebih efisien.

“Selain itu, usaha akan dipergiat bagi menjadikan Mahkamah Syariah sebagai platform penyelesaian, dan bukan sekadar tempat pertikaian dalam kalangan masyarakat.

“Kita juga merancang pelbagai sesi muzakarah dan perbincangan bagi menyampaikan naratif tersebut kepada masyarakat dengan lebih jelas,” tambahnya.

Persidangan itu dijangka menarik penyertaan antara 200 hingga 300 peserta, dengan kemungkinan penyertaan turut diperluaskan kepada wakil dari luar negara.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap sokongan dan wawasan kepimpinan Tun Musa yang disifatkan mampu membantu merealisasikan pelbagai perancangan pembangunan sistem kehakiman Syariah.

Mohd Amran juga berharap agar kemudahan prasarana, termasuk penyediaan bangunan mahkamah yang lebih kondusif, dapat dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki guna duit palsu dipenjara 5 tahun dan didenda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular