Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah telah mengeluarkan kawasan tanah daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries (SFI) Sdn Bhd untuk tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan bagi manfaat rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, secara khususnya, seluas 39,482 ekar atau 15,978 hektar kawasan dalam Hutan Simpan Sipitang (Kelas II) telah dikeluarkan pada tahun 2025.
“Tanah yang dikeluarkan itu adalah bagi tujuan tanah rizab perkampungan untuk komuniti setempat.
“Sebelum itu, pada tahun 2023, seluas 108.72 ekar atau 44 hektar juga telah dikeluarkan bagi tujuan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Yusri Pungut (Warisan-Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Joniston berkata, secara keseluruhan, jumlah kawasan yang telah dikeluarkan adalah lebih kurang 39,590 ekar atau 16,022 hektar.
“Hasil penelitian oleh Jabatan Perhutanan Sabah, melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua-ketua komuniti serta penduduk kampung, beberapa kawasan hutan simpan yang dibubarkan adalah untuk memberi manfaat kepada penduduk kampung,” katanya. – SABAH MEDIA



