KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membincangkan tuntutan negeri ini dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, perbahasan di Parlimen berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kedudukan Sabah dan Sarawak dikembalikan seperti awal pembentukan Malaysia yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sudah memadai.
“Sekarang di Parlimen sudah dibentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Malaysia mengenai dengan isu yang berkaitan dengan MA63, jadi pada pendapat saya buat masa ini tidak ada keperluan untuk kita mengadakan satu sidang khas di DUN Sabah
“Kita berharap Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah akan membahaskan perkara ini apabila perkara ini dibahaskan di Parlimen nanti,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.
Hajiji berkata bagi menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai cadangan untuk mengadakan sidang khas DUN Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pindaan perlembagaan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak.
“Saya sendiri duduk dalam Majlis Khas MA63 (MKMA63) dan jelas kehadiran Ketua Menteri Sarawak terhadap pendirian mereka dalam majlis itu, jadi sebab itu perkara ini dibawa ke Parlimen untuk dipinda,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, meskipun tidak mengadakan sidang khas DUN, tetapi tiada halangan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama ini untuk membincangkan dan membahaskan mengenai isu MA63.
“Jadi bagi saya bukan kita tidak mahu persidangan khas tetapi memadai selama ini kita telah berbincang dalam dewan ini untuk menyuarakan pendapat kita mengenai MA63.
“Perbahasan mengenai ini dari dulu lagi, dari zaman Barisan Nasional (BN) hingga WARISAN dan sekarang,” katanya.